You are here

Singer perkenal pelbagai jenis mesin
February 23,2009

Seiring dengan kemajuan teknologi, pelbagai jenis mesin jahit mula dijual di pasaran tempatan.

Jika dulu mesin jahit yang digunakan dengan proses menjahit secara manual melalui kaedah menggunakan tenaga tangan dan kaki, kini pengguna tidak perlu bersusah payah apabila Singer, mula memperkenalkan pelbagai jenis mesin jahit menggunakan elektrik.

Pengurus pusat jualan tersebut, Jaishree Jeyabalan, berkata, pusat mesin jahit berkenaan yang dibuka kepada umum di Pantai Timur merupakan pertama seumpamanya di negara ini.

“Ini adalah untuk mendekatkan pelanggan di kawasan ini dan ia merupakan sebagai salah satu pusat mesin jahit cawangan Singer Kota Bharu yang memuatkan pelbagai jenis mesin jahit model lama sehinggalah terbaru.

“Di pusat ini juga pelanggan boleh mencuba hampir 30 mesin jahit yang disediakan,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan kunjungan ke pusat tersebut.

Menurutnya, dengan penyediaan mesin jahit yang boleh dicuba sendiri pelanggan, orang ramai boleh membuat pilihan tepat mengenai jenis jahit mengikut keperluan dihendaki.

“Sempena meraikan 100 tahun ulang tahun Singer juga, mesin jahit jenis model lama (edisi terhad) yang pertama dikeluarkan turut dijual di pusat ini.

“Ini bagi meraikan pelanggan yang setia dengan Singer sejak dari dulu sehingga kini,” katanya.

Katanya, kini pusat tersebut turut mendapat liputan dan hebahan media selain akhbar dan stesen radio tempatan.

“Apa yang pasti, pelanggan akan dilayan dengan mesra selain boleh mendapatkan mesin jahit yang diingini.

“Selain itu, pusat ini juga turut menyediakan perkhidmatan untuk pelbagai jenis peralatan menjahit, dan perkhidmatan servis serta alat gentian jahit pelanggan,” katanya.

Kepada mereka yang ingin mengunjungi dan melihat mesin jahit pelbagai model dengan lebih dekat bolehlah berkunjung ke pusat tersebut di alamat lot 428, Jalan Sultan Yahya Petra, Wakaf Siku.

Source: 
Sinar Harian