You are here

Singer buka 100 cawangan
January 14,2014

Kota Kinabalu: Singer (Malaysia) Sdn Bhd, pengedar barangan elektrik dan keperluan rumah, menyasarkan untuk membuka hingga 100 cawangan baharu di Sabah menjelang pertengahan 2015 yang menampilkan konsep baharu dan mesra.

Pengurus Wilayah Sabah Yap Sin Teck berkata, kini Singer sudah mempunyai 71 cawangan dan akan meningkatkan jumlah itu bermula tahun ini.

"Pada masa yang sama juga, kita turut menyasarkan jualan barangan sehingga RM40 juta bagi tahun ini selain pembukaan cawangan baharu.

Selain itu, syarikat juga sedang melaksanakan langkah memodenkan dan menaik taraf seluruh cawangan syarikat bagi memastikan ia terus relevan kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan baharu Singer Kolombong yang terletak di Pasaraya Giant, Kolombong, di sini, kelmarin.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Urusan Singer (Malaysia) Sdn Bhd, Yeap Dein Wah.

Pembukaan cawangan baharu Singer di Kolombong itu adalah yang pertama pada tahun ini dan cawangan yang ke-71 setakat ini di Sabah.

Yap berkata, bagi tahun ini juga, pihaknya turut menyediakan pembiayaan untuk kereta terpakai dan motosikal buat pelanggan.

Source: 
Utusan Borneo